Sungai Kinabatangan terletak dalam dua daerah iaitu Daerah Tongod dan Daerah Kinabatangan

1.0 PENGENALAN DAERAH KINABATANGAN

1.1 Profil Daerah Kinabatangan

Daerah Kinabatangan terletak dalam Bahagian Sandakan mendapat namanya berasal daripada sebuah sungai yang terdapat di daerah ini yang dikenali sebagai Sungai Kinabatangan. Berdasarkan sejarah awal menyatakan bahawa kawasan kuala Sungai Kinabatangan mula diduduki sejak 1880 oleh beberapa suku kaum Orang Sungai dan Suluk. Pada ketika Ini majoriti penduduk Daerah Kinabatangan adalah kaum Orang Sungai yang terdiri daripada suku kaum Buludupi, Kimaragang, Makiang, Mangkaak, Minokok, Paitan, Pingas, Rumayau, Sinabu, Sukang dan Tambanoa. Manakala suku kaum minoriti terdiri daripada suku kaum Bugis, Dusun, Iban, Kadazan, Kagayan, Suluk dan Tidong.

Daerah Kinabatangan berkeluasan 660,500 hektar dan dihuni oleh seramai 86,763 orang yang majoritinya dari suku kaum Orang Sungai. Berdasarkan statistik 1999 telah merekodkan kepadatan kependudukan daerah ini adalah 3 orang setiap kilometer persegi dan serakan populasi pada kadar 3.4%. Selain daripada industri pelancongan, industri sawit merupakan industri yang utama diusahakan dengan sebanyak 32 buah kilang sawit didirikan dalam daerah ini. Terdapat 345,000 hektar daripada keluasan daerah ini diusahakan dengan tanaman kelapa sawit yang mendatangkan pendapatan melebihi RM 2 billion setahun

1.2 Pusat Pentadbiran Daerah Kinabatangan

Pusat pentadbiran Daerah Kinabatangan terletak di Pekan Kota Kinabatangan yang boleh dihubungi dengan jalanraya sejauh 76 km dari Bandaraya Tropika Sandakan dan 85 km dari bandar Lahad Datu. Daerah Kinabatangan telah diwujudkan pada 1905 oleh Kerajaan British dan pusat pentadbiran pertamanya terletak di Kg. Lamag. Namun, disebabkan keperluan pembangunan dan pentadbiran semasa, pada awal tahun 1970-an pusat ini berpindah ke Kg. Bukit Garam kerana Kg. Lamag seringkali dilanda banjir. Selepas itu pada 1980 sekali lagi, pusat pentadbiran Daerah Kinabatangan berpindah ke kawasan baru yang lebih strategik dan dinamakan sebagai Pekan Kota Kinabatangan. Terdapat beberapa buah jabatan dan agensi kerajaan berpejabat di pekan Kota Kinabatangan. Bagaimanapun, Pejabat Daerah Kinabatangan merupakan sebuah agensi utama kerajaan untuk mentadbir Daerah Kinabatangan. Pejabat Daerah Kinabatangan diketuai oleh seorang pegawai daerah dan dibantu oleh dua orang penolong pegawai daerah dan beberapa kakitangan sokongan yang berpejabat di Bangunan Urusetia, Pekan Kota Kinabatangan.

1.3 Kawasan Pilihanraya Daerah Kinabatangan

Untuk memperkukuhkan pentadbiran Daerah Kinabatangan, terdapat tiga orang pemimpin utama yang dipilih semasa pilihan raya. Mereka adalah seorang Ahli Dewan Rakyat / Parlimen dan dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri. Parlimen P.187 Kinabatangan merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau dan Dewan Undangan Negeri N.47 Kuamut. Dalam Parlimen Kinabatangan terdapat seramai 21,707 orang pemilih berdaftar dari 14 buah daerah mengundi yang masing-masing 09 buah terletak di dalam DUN Sukau dan 05 buah terletak di dalam DUN Kuamut. Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau merangkumi 2/3 dalam pentadbiran Daerah Kinabatangan dan 1/3 dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Tropika Sandakan. Bilangan pemilih berdaftar dalam DUN Sukau adalah seramai 11,345 orang yang tinggal dalam 78 buah perkampungan. Manakalah Dewan Undangan Negeri N.47 Kuamut pula merangkumi 3/4 dalam pentadbiran Daerah Tongod dan 1/4 dalam pentadbiran Daerah Kinabatangan. Bilangan pemilih berdaftar adalah seramai 10,362 orang yang tinggal dalam 85 buah perkampungan.

1.4 Pembangunan Infrastruktur Daerah Kinabatangan

Daerah Kinabatangan telah dibangunkan dengan beberapa projek pembangunan kerajaan yang bernilai RM271 juta untuk rancangan Malaysia ke-8 dan meningkat kepada RM350 juta untuk rancangan Malaysia ke-9. Terdapat beberapa projek pembangunan telah dilaksanakan di Daerah Kinabatangan antara projek-projek tersebut adalah seperti pembinaan bangunan kedai, projek perumahan murah, projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), bangunan pusat sumber, jambatan (kayu dan gantung), gerakan desa wawasan, dewan serbaguna, gerai niaga, rumah tradisi, rumah rehat, rumah ibadat, sekolah, asrama dan sebagainya. Pembangunan yang dimaksudkan, bukan sahaja tertumpu di Pekan Kota Kinabatangan sahaja tetapi juga di beberapa buah perkampungan dalam Daerah Kinabatangan. Projek menaik tarap jalanraya Kg. Sukau ke Pekan Kota Kinabatangan sedang dalam peringkat perlaksanaan disamping projek jalan-jalan kecil perkampungan.

1.5 Sosio-ekonomi Daerah Kinabatangan

Pada awal tahun 1800an, ketika empayar Kesultanan Sulu masih berkuasa di rantau ini, perniagaan seperti sarang burung, lilin lebah dan hasil hutan telah dibawa ke Sulu sebagai barang dagangan dengan kerajaan Negeri China. Namun bermula 1850-an empayar Kesultanan Sulu mula mengalami kemerosotan dan akhirnya pada awal 1880 menyerahkan pentadbiran Daerah Mangindora (Sandakan dan Kinabatangan) kepada kerajaan British. Pada 1914 kerajaan British telah memperkenalkan penanaman tembakau sehingga penaklukan Jepun 1942. Sejak akhir 1950-an, Daerah Kinabatangan adalah sebuah daerah pengeluar hasil kayu balak yang utama disamping sarang burung. Namun sejak 1990-an sektor perladangan telah menukar lanskap perindustrian di daerah ini. Bermula dengan tanaman koko, kini Daerah Kinabatangan telah pesat membangun dengan industri yang berasaskan tanaman kelapa sawit. Pada ketika ini sebanyak 32 buah kilang sawit telah didirikan di daerah ini. Sektor pelancongan adalah suatu lagi sektor industri yang sedang pesat membangun dalam daerah ini. Sebanyak 10 buah lodges dan beberapa buah projek homestay telah didirikan dan diusahakan oleh penduduk tempatan Daerah Kinabatangan. Berdasarkan rekod 2007 lebih 30,000 orang pelancong luar negeri telah berkunjung dan telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 200 orang belia dan beliawis daerah ini.

1.6 Pelancongan Daerah Kinabatangan

Lembangan Sungai Kinabatangan menawarkan sebuah ekosistem dan kawasan hutan hujan tropika yang sangat unik. Kawasan yang selalu ditengelami air, lembab dan tanah payah yang sangat subur telah menjadi tempat monyet proboscis membiak dan tinggal menetap. Pusat pelancongan yang beroperasi dalam daerah ini terletak di Kg. Abai, Kg. Sukau, Kg. Bilit, Kg. Batu Putih, Kg. Bukit Garam, Pekan Kota Kinabatangan, Kg. Lokan dan Kg. Sangau. Antara aktiviti yang dianjur oleh pusat-pusat pelancongan tersebut adalah seperti aktiviti homestay, kebudayaan, kem hutan, mendaki bukit, aktiviti danau, aktiviti sungai, aktiviti muzium Agop Batu Tulug, memerhati hidupan liar (buaya, gajah, monyet), memerhati burung dan memerhati kelip-kelip malam.

Slaid Panorama Sungai Kinabatangan

SLAID 1 : Panorama sepanjang tebing Sungai Kinabatangan dari Kg. Bukit Garam sehingga ke Kg. Batu Putih
SLAID 2 : Panorama sepanjang tebing Sungai Kinabatangan dari Kg. Batu Putih sehingga ke Kg. Bilit

Mengenali Saya

Foto saya
Dilahirkan di Kg. Bilit, Kinabatangan pada akhir 50an. Kini menetap di Ibu Negeri Sabah, Kota Kinabalu, demi sesuap nasi....
Tiada catatan.
Tiada catatan.